Sunday 17 February 2013

'Amanat Haji Hadi' masih Valid?

Perkara yang paling bahaya yang pernah dilakukan oleh pihak PAS ialah mengkafirkan UMNO. Atas sebab inilah pihak Majlis Agama Islam Kelantan mengeluarkan fatwa pada tahun 1981, seperti dibawah:




Terjemahan fatwa ke dalam tulisan rumi:


15 Jamadil-Akhir 1401-20 Februari 1981

مجلس اوڬام اسلام دان عادة استعادة ملايو كلنتن
  
Keputusan Jemaah Ulama Mengenai Masalah Kafir-mengkafir. 

Pada masa akhir-akhir ini terdapat beberapa golongan umat Islam yang telah mengeluarkan fatwa-fatwa atau pendapat-pendapat mengenai masalah agama yang sangat mengelirukan serta membawa kepada perbahasan di kalangan umat Islam khasnya di Negeri Kelantan.

Di antara masalah yang telah dikeluarkan pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa ialah seperti berikut :-

1)Tidak sah sembahyang dibelakang imam orang Barisan
(UMNO- Barisan Nasional).

2) Haram dimakan daging binatang sembelihan orang 
Barisan (UMNO- Barisan Nasional) kerana tidak sah
sembelihannya.

3) Terfasakh nikah di antara suami isteri orang Barisan
(UMNO- Barisan Nasional) dengan orang bukan Barisan 
(UMNO- Barisan Nasional).

4)Tidak sah akad nikah oleh imam dari golongan Barisan 
(UMNO- Barisan Nasional).

5) Kena diperbarui nikah yang diaqadkan oleh imam dari
Barisan (UMNO- Barisan Nasional).

6) Tidak boleh ditanam mayat orang Barisan 
(UMNO- Barisan Nasional) di perkuburan Islam.

7) Orang Barisan (UMNO- Barisan Nasional) mati tidak
boleh disembahyangkan ke atasnya kerana murtad dan
mereka juga tidak boleh sembahyangkan ke atas mayat 
orang Pas.

8) Orang Barisan (UMNO- Barisan Nasional) tak payah
sembahyang,puasa,naik haji kerana tidak diterima oleh 
Tuhan amalan itu daripada mereka.

Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan Pejabat Mufti Kerajaan Kelantan telah menerima banyak surat yang telah dihantar oleh orang ramai mengenai masalah fatwa-fatwa atau pendapat-pendapat ini dan banyak menerima laporan mengenai kedudukan masyarakat islam di negeri ini dari pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa yang disebarkan itu.

Oleh kerana kesan daripada pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa ini sangat besar bahayanya kepada perpaduan umat Islam maka jemaah ulama telah mengadakan suatu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Sohibul-Fadilah Dato' Mufti Kerajaan Kelantan dan dihadiri oleh semua jemaah ulama yang terdiri dari :-

1) Yang Berbahagia Dato' Haji Ismail Bin Haji Yusoff - 
Timb.Mufti Kerajaan Kelantan.

2) Al-Fahdil Tuan Hj Abd Aziz bin Hj.Abu Bakar - 
Pondok Terusan,Pasir Tumbuh.

3) Al-Fahdil Tuan Hj Abul Ghani bin Awang Chik - 
Pondok Kubang Bemban,Pasir Mas.

4) Al-Fahdil Tuan Hj Mohamad bin Hj Yusoff- 
383 Jalan Atas Banggol.Kota Baru.

5) Al-Fahdil Tuan Hj Hassan bin Hj Ismail - 
Maahad Muhammadi,Kota Baru.

6) Al-Fahdil Tuan Hj Abdullah bin Hj.Abd Rahman - 
Pondok Lubuk Tapah,Pasir Mas.

7) Al-Fahdil Tuan Hj Hasbullah bin Hj. Mohd Hassan - 
Iman Besar Masjid Muhammadi.

8) Al-Fahdil Tuan Hj Hassan bin Hj.Idris - 
Penolong Pengarah Yayasan Sekolah Agama Kelantan 
(JASA) Lundang,Kota Baru.

Mesyuarat khas itu telah membahaskan perkara-perkara yang tersebut di perenggan 2 di atas serta juga ceramah-ceramah yang disalin ke dalam kaset-kaset atau pita rakaman berhubung dengan fatwa-fatwa atau pendapat-pendapat tersebut itu dan mengambil keputusan bahawa :-

"SETELAH MEMBAHAS MENGENAI PERKARA-PERKARA TERSEBUT DENGAN BERALASAN KEPADA KITAB-KITAB TAFSIR DAN KITAB-KITAB TAUHID KARANGAN ULAMA' YANG MUKTABAR,MAKA DENGAN SEBULAT SUARA JAMAAH ULAMA' MEMBUAT KEPUTUSAN BAHAWA KELAPAN-LAPAN PERKARA YANG TERSEBUT ADALAH TIDAK BENAR DAN BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM,SERTA SANGAT MENDATANGKAN BAHAYA TERHADAP AQIDAH ISLAMIAH DAN PERPADUAN ORANG-ORANG ISLAM"

Oleh yang demikian Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan memberi nasihat kepada orang ramai supaya jangan terkeliru dengan pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa yang menyeleweng serta menyesatkan umat islam yang dibuat oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawap.

Sekian dan diharap mendapat perhatian semua lapisan umat islam dinegeri ini.

(Dato' Hj Wan Mohamed bin Yusuf )
b/p Yang Dipertua.
Di Pejabat Agama Islam Kelantan,Kota Baru,Pada 15 Jamadil Akhir 1401.


Fatwa diatas tentunya tidak sewenang-wenangnya dikeluarkan oleh MAIK jika tidak berlaku isu kafir-mengkafir ini sebelumnya, terutama yang dikatakan oleh pihak PAS kepada UMNO.



Namun beberapa bulan selepas fatwa ini dikeluarkan, Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) telah memberi ceramah yang terkandung didalamnya perkara-perkara yang diambil sebagai 'amanat' beliau, yang kemudiannya telah dicetak dan disebarkan kepada masyarakat. Sila rujuk 

http://ms.wikipedia.org/wiki/Amanat_Haji_Hadi




Terjemahan dalam tulisan rumi:


Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masukBuddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Oleh kerana itu, majlis Fatwa Kebangsaan pula, pada tahun 1984, telah mengeluarkan fatwa bahawa amanat Haji Hadi adalah bertentangan dengan Islam.

27 Safar 1405-21 November 1984

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 21 November 1984 telah membincangkan mengenai isu kafir mengkafir sesama orang Islam. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:

1.     Bahawa jika ada tuduhan atau anggapan oleh ahli atau penyokong PAS atau oleh sesiapa jua bahawa ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan  yang beragama Islam sebagai kafir atau sebaliknya iaitu ahli-ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan yang beragama Islam menuduh pemimpin atau ahli-ahli PAS kafir, adalah tidak benar sama sekali dan sia-sia. Oleh yang demikian ahli-ahli UMNO atau sesiapa jua yang mengucap Dua Kalimah Syahadah adalah tetap orang Islam selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam Malaysia.

2.     Sesiapa yang membuat tuduhan atau anggapan bahawa ahli-ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan atau sesiapa juga yang beragama Islam sebagai kafir, maka perbuatan itu adalah haram dan hendaklah bertaubat kepada Allah. Perbuatan itu hendaklah diberhentikan dengan serta merta.

Kemudiannya, sekali lagi majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa pada tahun 2002 bagi menekankan kenyataan bahawa amanat Hj hadi adalah bercanggah dengan Islam.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/amanat-haji-abdul-hadi-0


15 Jamadil-Awal 1423-24 Julai 2002
Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2002.
Amanat Haji Abdul Hadi
Tarikh Keputusan: 
24 Jul, 2002
Keputusan:

1. Bahawa Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah -
(a) bercanggah dari segi ajaran Islam;
(b) bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan Agamanya; dan
(c) bercanggah dengan prinsip dakwah Islamiah.
2. Mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) menyebar, mengajar, mempelajari dan mengamalkan amanat tersebut; dan
(b) menjual, mencetak, mengedar, membeli atau memiliki amanat tersebut.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
25 Jul, 2002
Nombor Rujukan: 
PMM/0020 Jld.4 (61)
Akta/Enakmen: 
M.P.U. 13


Ini bermakna, fahaman yang ada pada (mungkin didalam segolongan) ahli dan penyokong PAS, iaitu UMNO ini kafir, sebenarnya telah lama wujud. Cuma amanat Hj Hadi ini mem'formal'kan fahaman ini, dan ia berterusan sehingga menyebabkan Majlis Fatwa negeri Kelantan dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa menyatakan bercanggahnya amanat ini dengan ajaran Islam.

Kita tidak pernah, atau belum pernah mendengar TGHH menarik balik fatwa ini. Beliau pun tidak pernah mengatakan mana-mana pandangan terbaru mengenai status 'kekafiran' UMNO ini, sekurang-kurangnya untuk dijadikan alasan kepada kita membatalkan amanatnya pada 1981 itu. Dengan kata lain, amanat ini masih valid sehingga ke hari ini.

Pentafsiran amanat ini pun boleh dibahaskan. Walaupun ada pihak PAS cuba untuk mengelak dengan mengatakan bahawa tuduhan kafir oleh PAS kepada UMNO hanyalah putar belit UMNO, namun yang jelas amanat itu sendiri dengan jelas menunjukkan perkara ini. Dengan mengatakan isu ini basi pun tidak mencukupi, kerana pada zaman akan datang, mungkin akan ada golongan baru yang bangun menghidupkan semula amanat ini dengan alasan ia tidak pernah di gugurkan oleh TGHH sendiri. Maka sebenarnya isu ini belum boleh ditutup begitu sahaja kerana ia belum selesai.

Desakan TGHH untuk membuat penerangan didalam media massa seperti RTM dan TV3 secara langsung selama sejam, dilihat lebih kepada strategi politik berbanding dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah perbezaan pandangan dari sudut kepentingan aqidah ummat Islam. Jika TGHH benar-benar ikhlas, beliau boleh saja membuat penerangan dengan saluran yang lain-lain yang tidak kurang pentingnya pada zaman IT sekarang ini, seperti melalui akhbar PAS Harakah, atau media massa PR, atau Youtube, Facebook, blog dan sebagainya. Namun penerangan ini tidak pernah dibuat sepanjang pengetahuan kita.

Ini adalah perkara aqidah. Kita tidak boleh memandang enteng perkara pokok didalam agama ini. Janganlah semata-mata kerana beza fahaman politik, kita sanggup mengkafirkan orang lain. Ini sangat-sangat berbahaya kepada dunia & akhirat kita.

Jika PAS diberi mandat untuk berkuasa, ada potensi untuk amanat TGHH ini dilaungkan semula. Sedangkan dalam keadaan belum berkuasa pun pihak PAS begitu kuat hendak mempertahankan amanat ini walau telah dikeluarkan fatwa mengenainya, apatah lagi jika ditakdirkan mendapat kuasa. 

Tindakan memandang enteng fatwa MAIK dan Majlis Fatwa Kebangsaan oleh PAS juga memberi imej seolah-olah majlis-majlis tersebut tidak perlu dihormati dan diambil berat fatwanya. Ini tentunya boleh menghilangkan rasa hormat masyarakat kepada alim ulama' yang menjalankan tugas mereka, semata-mata kerana mereka tidak sealiran dengan pendapat PAS yang disokong mereka.

Kepada golongan yang memikirkan perkara ini dengan fikiran yang tenang, marilah kita sama-sama menilai bagaimana sikap PAS didalam hal kafir-mengkafir ini. Bagaimana mungkin kita boleh sanggup melihat ada dikalangan kita sesama ummat Islam dikafirkan kerana semata-mata berbeza pandangan politik, dan dalam masa yang sama kita memberi amanah kuasa kepada si pengkafir, tanpa mereka mempunyai asas dalam tuduhan kafir itu.

Semoga Allah menyelamatkan kita dari ancaman dan budaya kafir mengkafir ini.

No comments:

Post a Comment